Isu pakaian atlet negara ke Olimpik Paris petanda merisaukan

Iqbal Harraz
Jun 29, 2024, 12:00 AM

Reaksi negatif pelbagai lapisan masyarakat terhadap reka bentuk pakaian rasmi kontinjen negara ke Olimpik Paris kali ini menghantar mesej yang penting: tidak ada alasan lagi untuk negara memandang ringan nilai seni kreatif di negara ini.

Pensyarah kanan Fakulti Seni Reka Fesyen di UiTM Shah Alam, Asliza Aris menjelaskan masalah 'ketumpulan' deria rasa terhadap seni kreatif di negara ini berlaku apabila masyarakat melihat bidang itu kononnya boleh dihasilkan oleh sesiapa sahaja.

Hal itu, katanya, menyebabkan aspek konsep, fungsi dan nilai dalam penghasilan sesuatu karya seni sering diabaikan.

“Ramai juga masih beranggapan seni itu masih berkonsepkan art for art sake saja, sedangkan fungsi seni itu pada hari ini sebenarnya sangat menyeluruh.

"Seni kreatif adalah penting sebagai satu 'makanan rohani' untuk membentuk keperibadian individu dalam masyarakat,” katanya kepada Malaysiakini.

Asliza turut melihat kegagalan mengangkat kerja seni kreatif ke tempat sepatutnya mengakibatkan orang ramai seolah-olah memandang tenaga profesional sebelah mata saja.

Asliza Aris

Sejak didedahkan dalam pelancaran rasmi pada Ahad lalu, reka bentuk pakaian rasmi kontinjen Malaysia untuk membawa panji-panji negara di sukan paling berprestij itu tidak henti-henti menerima kecaman.

Selain warganet, ia juga dikomen oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Kebanyakan orang menganggap reka bentuk pakaian rasmi itu tidak mencapai tahap piawaian yang boleh dibanggakan, selain tidak melambangkan identiti negara.

Semalam rentetan kritikan bertali arus, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan mereka akan menambah baik reka bentuk pakaian terbabit bagi melambangkan motif harimau pada jaket rasmi kontinjen negara.

Logo MOM dan Jalur Gemilang pula akan dikembalikan kepada warna asal.

Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria berkata mereka akan berbincang dengan penaja pakaian rasmi kontinjen Malaysia, Yonex Sunrise, untuk penambahbaikan sesuai dengan harapan rakyat.

Untuk rekod reka bentuk pakaian kontinjen Olimpik Malaysia ke Paris bukanlah satu-satunya yang mengundang keluhan banyak pihak.

Sebelum ini pada 2019, logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang mempaparkan imej Menara KLCC, Orang Utan, dan penyu memakai cermin mata hitam mendapat kecaman kerana grafiknya dilihat gagal mempamerkan daya kreativiti yang tinggi.

Bagaimanapun ia dipertahankan Mohamed Nazri Aziz selaku Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ketika itu dan menegaskan ia dihasilkan oleh kakitangan kementerian dan tidak melibatkan sebarang bayaran.

Pada 2022 pula logo hari kebangsaan turut dipertikai - dan diketawakan - kerana terlalu ringkas, malah dianggap sesetengah pihak seperti simbol wi-fi saja.

Jiwa seni yang kurang

Pereka fesyen tersohor negara, Zaihani Mohd Zain, pula melihat apa yang dapat ditafsir daripada isu pakain rasmi negara itu ialah, tidak ada subjek utama dan pernyataan reka bentuk yang jelas dipaparkan.

“Kemungkinan pereka terbabit tidak mengambil masa yang lama pun untuk menjalankan penyelidikan dalam mengolah fesyen pakaian ini.

“Ada juga kemungkinan mereka mengambil inspirasi daripada Pinterest yang kemudian diolah sedikit. Justeru begitulah hasil yang kita lihat,” katanya.

Zaihani Mohd Zain

Zaihani turut menegur sikap sesetengah pihak di negara ini kerana tidak menjadikan seni itu sebahagian daripada kehidupan mereka

“Tidak seperti rakyat negara jiran kita seperti di Indonesia dan Thailand. Penjiwaan seni dalam diri rakyat Malaysia ni kurang," katanya.

Dia juga berpendapat untuk mengubah keadaan semasa, orang ramai tidak boleh hanya mengharapkan institusi pendidikan - sama ada di peringkat rendah mahupun tinggi - untuk membentuk jati diri yang sepatutnya.

"Suasana di rumah pun patut dikelilingi dengan unsur seni seperti lukisan, kraft tangan dan lain-lain,” katanya.

Hatta Dolmat

Sementara itu, pereka lestari fesyen pertama di Malaysia, Hatta Dolmat, menganggap lensa kerajaan kepada seni hanya terbatas kepada bidang seni halus, seni tari, seni teater dan seni muzik sahaja.

“Kedudukan seni kreatif lain seperti fesyen masih samar sedangkan ia perlu dipandang penting," katanya.

Tambah Hatta, untuk menjelaskan pandangannya itu orang ramai tidak perlu bersusah-susah mencari contoh.

“Tidak perlu pergi jauh, lihat bagaimana Indonesia dan Thailand benar benar mendukung fesyen tempatan mereka, dan bezakan dengan apa kita alami di Malaysia," katanya.