Dakwa pecah belah masyarakat Hindu, Ramasamy saman senator

Hidir Reduan Abdul Rashid
Jul 3, 2024, 9:17 AM

Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy memfailkan saman terhadap senator RA Lingeshwaran di mahkamah kerana mendakwa dia memecahbelahkan masyarakat Hindu.

P Ramasamy memfailkan writ saman terhadap senator itu di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 29 Jun lalu.

Peguam bekas ahli DAP itu, Shamsher Singh Thind mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa salinan kertas kausa telah diserahkan kepada Lingeshwaran.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, saman Ramasamy adalah berhubung kenyataan akhbar Lingeshwaran bertajuk 'Unite, not divide ! Senior Hindu leaders told’ (Bersatu, bukan berpecah! Pemimpin kanan Hindu diberitahu)'.

Plaintif mendakwa dia mendapat tahu perkara itu selepas beberapa wartawan menghantar kenyataan media berkenaan kepadanya melalui WhatsApp pada Disember tahun lepas, bagi meminta maklum balasnya daripadanya.

Ramasamy berkata kenyataan itu mengandungi tuduhan semsa dia memegang jawatan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang selama tiga penggal dari 2008 hingga tahun lepas.

Dia menuntut plaintif membayar ganti rugi am, ganti rugiteruk dan ganti rugi teladan, yang akan ditaksir oleh Mahkamah.

Ramasamy berkata dia telah menghantar notis tuntutan bagi memberi peluang kepada defendan menarik balik kenyataan media tersebut, memohon maaf tanpa syarat dan memberi akujanji secara bertulis untuk tidak membuat kenyataan serupa di masa hadapan serta membayar ganti rugi.

Bagaimanapun katanya, plaintif gagal menunaikan tuntutan tersebut.

Selain ganti rugi, Ramasamy juga memohon injunksi mahkamah untuk memaksa Lingeshwaran menarik balik kenyataan itu, membuat permohonan maaf yang disiarkan dalam beberapa akhbar, dan menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi defendan untuk mendapatkan respons.

Mahkamah menetapkan 30 Julai untuk pengurusan kes saman berkenaan.