Dewan Rakyat kecoh lagi, PN dakwa DAP mahu tutup Kemas

Isabelle Leong, Alyaa Alhadjri, Haspaizi Zain
Jul 3, 2024, 7:59 AM

PARLIMEN l Kekecohan sekali lagi tercetus di Dewan Rakyat hari ini susulan dakwaan Shahidan Kassim (PN - Arau) bahawa kononnya DAP mahu menutup Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Shahidan pada mulanya menggesa audit dijalankan ke atas peruntukan ahli parlimen pembangkang yang didakwanya disalurkan kepada agensi kerajaan, dengan secara khusus menyebut Kemas, dan ketua-ketua bahagian parti pemerintah yang kalah dalam pilihan raya.

Shahidan Kassim (PN - Arau)

“Saya minta supaya auditkan apa yang telah diberi, peruntukan diberi kepada siapa?

“Saya tak tahu. Kata diberikan kepada Kemas. Dulu yang nak tutup... DAP nak tutup Kemas, kami (ahli parlimen pembangkang) pertahankan Kemas.

“Sekarang Kemas nak hentam kami. Apa punya Kemas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Kenyataan Shahidan itu mengundang bantahan dan celahan daripada tiga ahli parlimen DAP - Teresa Kok (PH - Seputeh), RSN Rayer (PH - Jelutong) dan Syerleena Abdul Rashid (PH - Bukit Bendera).

Mereka menuntut Shahidan menunjukkan bukti atau menarik balik kenyataannya.

Shahidan kemudian menjelaskan kenyataan itu berkaitan ‘DAP anggota kerajaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menutup Kemas.”

“Bila DAP kata nak tutup Kemas? Kita (DAP) tak pernah kata nak tutup Kemas, Arau (Shahidan),” tegas Kok.

Alice Lau

Timbalan Speaker, Alice Lau kemudian meminta bukti berhubung kenyataan itu dan meminta Shahidan menariknya semula tetapi tidak diendahkan. 

Ahli parlimen Arau kemudian menarik balik kenyataan awal itu, namun menambah “DAP ialah anggota kerajaan PH yang nak tutup Kemas”.

Rayer yang tidak berpuas hati bangun dan berterusan menuntut Shahidan menarik balik kenyataan yang didakwanya tidak berasas itu.

“Tarik balik, Arau (Shahidan)! Jangan menipu!” jerit Rayer.

Lau seterusnya meminta Rayer membuat usul supaya Shahidan menunjuk bukti berkaitan kenyataan yang didakwa itu.

“Kalau tidak dapat, kita akan hantar dia ke jawatankuasa hak dan kebebasan,” katanya.

[Baca berita penuh]