Muda selar alasan Saifuddin enggan ratifikasi konvensyen PBB antiseksa

Jul 3, 2024, 6:48 AM

Ahli jawatankuasa pusat Muda Dobby Chew menyelar Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail selepas dia memberitahu parlimen bahawa Malaysia tidak berhasrat untuk meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan (UNCAT) buat masa ini.

Chew menyoal kenapa Saifuddin memetik undang-undang berkaitan rotan dan sebat di Malaysia sebagai alasan untuk mengelak daripada meratifikasi konvensyen PBB itu.

"Sebatan dan rotan sentiasa menjadi isu pertikaian dalam UNCAT namun ia tidak menghalang banyak negara yang mengenakan hukuman rotan dan sebat dalam bidang kuasa mereka untuk meratifikasi UNCAT.

“Ini juga termasuk negara yang masih mengekalkan dan mengamalkan undang-undang Syariah.

"Menteri dalam negeri yang mengetuai pelbagai agensi penguatkuasaan tidak seharusnya melencong dengan (isu peruntukan undang-undang untuk) hukuman rotan dan sebat tetapi wajar menangani mesej teras UNCAT, iaitu pencegahan penyeksaan," kata Chew.

Kelmarin (1 Julai) Saifuddin menjawab isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen yang membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Jelasnya, konvensyen PBB itu melarang sesebuah negara daripada menggubal undang-undang dengan hukuman yang mempunyai unsur "kesakitan yang teruk."

"Adakah akan ratifikasi UNCAT? Buat masa ini tidak.

"Kalau ratifikasi UNCAT, ada seksyen tertentu jelas menyebut bahawa undang-undang negara kita tidak boleh ada elemen sebabkan severe pain (kesakitan yang berat).

"Sedangkan akta (jenayah) kita ada sebatan. (Undang-undang) syariah pun ada sebatan. Sebatan ni sakit lah,” kata Saifuddin memberitahu sidang Dewan Rakyat.

Sementara itu, Chew turut menyoal Saifuddin berhubung jumlah kes kematian dalam tahanan lampau yang masih belum selesai, selepas menteri itu berkata tiada kematian dalam tahanan polis yang dilakukan oleh pihak berkuasa sejak dia mengambil alih jawatan itu pada 2022.

Menurut Saifuddin, semua kematian yang direkodkan di penjara, lokap polis dan depoh Jabatan Imigresen sejak 2022 adalah berkaitan isu kesihatan.

Ahli jawatankuasa pusat Muda Dobby Chew.

“Walaupun patut dipuji kematian dalam tahanan polis telah dikurangkan dalam rekod kerajaan namun kes kematian tahanan masa lalu masih tidak dapat diselesaikan dengan pelaku penyeksaan dan penderaan dalam tahanan masih bebas.

"Sehingga hari ini, kerajaan Madani masih belum menangani kematian Teoh Beng Hock dan tidak mengambil tindakan jenayah terhadap pelakunya," kata Chew.

Dia berkata jika kerajaan ikhlas dalam pencegahan penyeksaan, ia perlu mengadakan siasatan awam rasmi berhubung kematian tahanan dan mendakwa pesalah yang terlibat dalam penyeksaan dan penderaan tahanan.

“Kerajaan harus mengkaji cara untuk Malaysia mencapai ratifikasi dan memperkenalkan perundangan dan pindaan bersesuaian untuk menjenayahkan penggunaan penyeksaan oleh agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa," tambahnya.