Wan Fayhsal: Jabatan Audit perlu siasat GIP ambil alih MAHB

Isabelle Leong, Alyaa Alhadjri , Haspaizi Zain
Jul 3, 2024, 6:04 AM

PARLIMEN | Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN – Machang) menggesa Jabatan Audit Negara menyiasat penjualan saham Malaysia Airlines Holding Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Kontroversi itu tercetus pada 15 Mei, apabila Khazanah Nasional Berhad mengumumkan Abu Dhabi Investment Authority dan GIP - melalui GIP Aurea Pte Ltd - akan membentuk konsortium untuk membeli saham syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas mendapati Blackrock, sebuah syarikat yang dianggap berkaitan dengan Israel sedang mengambil alih GIP.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertanggungjawab dalam hal berkenaan kerana pada masa sama pengerusi Khazanah serta menteri kewangan.

"Jadi apa masalah dibincangkan antara ‘tiga orang’ ni? Bukankah ini resipi kegagalan 1MDB yang kamu semua (MP kerajaan) lawan?

“Bila (kamu ahli parlimen) masuk (menjadi kerajaan) Madani, kamu halalkan. Tak dibincangkan dalam kabinet.

“Minta Jabatan Audit Negara dengan kuku taring baru ini, siasat penjualan saham MAHB kepada Blackrock dan GIP,” katanya.

Pada 21 Jun, GIP berkata Blackrock tidak akan terlibat dengan MAHB kerana pengurusan GIP masih akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas syarikat itu.

Pada hari sama, Anwar berkata perbincangan dengan GIP telah dimulakan sebelum Blackrock memulakan pengambilalihan saham GIP lagi.

Dia juga berkata tindakan memutuskan hubungan dengan semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di Malaysia akan menjejaskan ekonomi.

Selanjutnya, perdana menteri menjelaskan Blackrock sudah pun mempunyai kepentingan dalam banyak syarikat di negara ini.