'Akta Omnibus ambil kira penyalahgunaan data peribadi pihak kerajaan'

Haspaizi Zain, Alyaa Alhadjri & Isabelle Leong
Jul 3, 2024, 5:54 AM

PARLIMEN l Akta Perkongsian Data (Akta Omnibus) yang akan digubal masih berada di peringkat penetapan dasar, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata, pihaknya akan mengkaji keperluan untuk memasukan aspek perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan oleh pihak kerajaan.

"Akta Omnibus yang akan digubal masih berada di peringkat penetapan dasar prinsip-prinsip utama bagi cadangan penggubalan draf Rang Undang-Undang (RUU).

"RUU Perkongsian Data yang dicadangkan adalah untuk mengawal selia perkongsian data antara agensi dalam sektor awam.

"Pihak kementerian mengambil maklum akan keperluan perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan oleh mana-mana pihak semasa perkongsian data dijalankan di antara agensi.

"Walaupun agensi kerajaan dikecualikan daripada pemakaian Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] melalui rujukan kepada seksyen 3 Akta yang sama pada masa ini, pegawai-pegawai awam adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88]," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Gobind menjawab persoalan yang dikemukakan William Leong (PH-Selayang) merujuk kepada Seksyen 3 Akta Perlindungan Peribadi yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang untuk memasukkan peruntukan mengenai perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan oleh pihak kerajaan di dalam Akta Omnibus yang akan diperkenalkan kelak.

Dalam pada itu, Gobind berkata kakitangan awam juga tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) sekiranya pegawai awam disabitkan dengan isu ketirisan semasa mengendalikan data peribadi.

"Pihak kementerian akan mengkaji kesesuaian peruntukan berhubung dengan perlindungan data peribadi dalam draf RUU tersebut bagi mengimbangi kepentingan perkongsian data dan hak seseorang individu terhadap data peribadi mereka," katanya lagi.