6 bekas MP Bersatu yakin kerusi mereka tidak akan dikosong

Haspaizi Zain, Alyaa Alhadjri & Isabelle Leong
Jul 3, 2024, 5:35 AM

PARLIMEN | Enam bekas ahli parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikatakan yakin kerusi yang disandang mereka tidak akan dikosongkan.

Menurut Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman tindakan yang diambil mereka menyokong Kerajaan Madani tidak melanggar perlembagaan parti.

Jelasnya, mereka tidak pernah keluar parti ataupun melompat parti, sebaliknya keahlian mereka dipecat oleh Bersatu dan nama digugurkan daripada sistem parti itu.

"Kami berpendapat tidak akan berlaku kekosongan kerusi di kawasan Parlimen kami disebabkan kami tidak pernah meninggalkan parti Bersatu.

"Kami tidak berhenti menjadi ahli kepada parti Bersatu, tetapi apa yang berlaku ialah kami dipecat daripada parti dan nama kami dibuang daripada sistem keahlian Bersatu.

"Dengan ini jelas membuktikan tiada ada unsur kami berenam meninggalkan parti atau melompat ke parti lain yang mana boleh meletakkan kami di perkara 49 A (3) Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Turut serta sidang media itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi.

Bersatu sebelum ini mengemukakan notis kepada speaker memohon supaya enam kerusi parlimen dipegang oleh wakil rakyatnya dikosongkan.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berkata keahlian parti enam ahli parlimen yang menyokong Anwar itu telah terhenti secara serta-merta.

"Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima," kata Ronald.

Sementara itu, Suhaili berkata tindakan mereka menyokong kerajaan demi rakyat di kawasan masing-masing.

Dia juga menyalahkan pucuk pimpinan Bersatu yang didakwanya enggan akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong supaya membentuk kerajaan perpaduan.

"Kami juga ingin menyatakan kami sokongan kerajaan Madani adalah demi kepentingan rakyat di kawasan Parlimen kami masing-masing yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan kebajikan.

"Apa yang menyebabkan kami Jadi pembangkang...bukan kami, kami bertanding menang nak jadi kerajaan, Yang di-Pertuan Agong sarankan supaya Bersatu menjadi (sebahagian) kerajaan. Tapi dua pucuk pimpinan parti yang buat keputusan untuk jadi blok pembangkang tanpa berbincang dengan kami," katanya lagi.