Muhyiddin dapat pasport untuk hadir graduasi cucu di London

Hidir Reduan Abdul Rashid
Jul 3, 2024, 5:26 AM

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkannya menghadiri majlis graduasi cucunya di United Kingdom.

Hakim Rozina Ayob membenarkan pasport diserahkan kepada presiden Bersatu itu menerusi peguamnya, selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad memaklumkan, pihaknya tidak membantah permohonan tersebut.

Peguam Muhyiddin, K Kumaraendran mengesahkan bahawa pasport diserahkan kepada tertuduh hari ini dan ahli Parlimen Pagoh serta isterinya, Norainee Ahmad akan ke London pada malam 19 Julai dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada 15 Ogos.

Ditanya Rozina mengapa tertuduh mahu mendapatkan pasport awal, peguam itu berkata ia bagi membolehkan tertuduh mendapatkan pelepasan daripada Jabatan Imigresen terlebih dahulu.

Pasport Muhyiddin sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin bagi kes jenayah berterusannya yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Menurut afidavit sokongan dikemukakan, Muhyiddin dan isterinya akan menghadiri majlis graduasi cucu perempuan mereka pada 23 Julai ini di Royal Festival Hall di Southbank Centre, London.

Muhyiddin berkata, cucunya itu berjaya menamatkan pelajaran dalam Sarjana Muda Sastera cemerlang dengan mendapat kelas pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Pentadbiran Perniagaan) di University of Westminster, London.

"Saya ingin menghadiri majlis graduasi cucu saya kerana ia merupakan sebuah majlis sekali dalam seumur hidup dan saya ingin menyaksikan dan mengiktiraf kejayaan cucu saya.

“Cucu saya juga telah menyatakan hasratnya untuk saya dan isteri saya dapat bersama-sama hadir ke majlis graduasinya untuk menyaksikan pencapaiannya," katanya dalam afidavit itu.

Pada prosiding sama, Rozina turut menetapkan 30 Ogos ini untuk pendengaran permohonan Muhyiddin bagi menangguhkan kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Presiden Bersatu itu, sementara menunggu permohonan semakan keputusan oleh panel hakim diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Muhyiddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Dia juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

[Baca berita penuh]