Syed Husin Ali meninggal dunia

Jun 29, 2024, 12:44 AM

Ahli pengasas PKR Syed Husin Ali meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Menurut anaknya Muhammad Ali, jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke masjid di Kampung Tunku, Petaling Jaya, untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Berita pemergian Syed Husin pada awal pagi tadi dikongsi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Facebook.

Menurut Fahmi, timbalan pengerusi Majlis Penasihat PKR itu dimasukkan ke Hospital Selayang pada hari kedua Aidiladha, awal bulan ini.

"Allahyarham banyak berjasa kepada parti dan rakyat, telah menerbitkan banyak buku termasuk Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA serta Sejarah dan Dasar Perjuangan KEADILAN, dan banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain lama berjuang dalam politik tanah air.

"Saya sendiri pernah membantu kempen Allahyarham pada PRU 2004 waktu beliau bertanding di PJ Selatan. Dr Syed seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan para pimpinan. Beliau seorang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin, dan banyak menyampaikan nasihat termasuk kepada diri saya sendiri.

"Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang beriman," katanya.

Awal minggu ini, Syed Husin dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Selayang.

Syed Husin pernah menjadi timbalan presiden PKR berikutan penggabungan Parti Rakyat Malaysia dan Parti Keadilan Nasional pada 2003.

Bekas profesor madya Universiti Malaya itu pernah ditahan di bawah ISA dari 1974 hingga 1980 kerana memperjuangkan nasib petani miskin di Baling, Kedah.

Syed Husin sejak itu meminta kerajaan memohon maaf kepada semua tahanan ISA.

Oktogenarian itu juga menggesa kerajaan untuk memansuhkan undang-undang kontroversi seperti Akta Hasutan, dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Dari segi politik, Syed Husin bertanding dalam tiga pilihan raya Dewan Rakyat pada 1990-an tetapi kalah setiap kali sebelum berkhidmat di Dewan Negara selama dua penggal dari 2009 hingga 2015.

Bapa kepada tiga anak itu telah menulis dan menyunting kira-kira 20 buah buku antaranya "Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan Mereka", "Kemiskinan dan Kelaparan Tanah di Kelantan", "Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara", Memoir Perjuangan Politik", "Raja-Raja Melayu: Kemajuan atau Kemunduran", "Hubungan Etnik di Malaysia : Harmoni dan Konflik", dan "Sejarah Rakyat Malaysia".

Di bawah ialah siri tiga bahagian yang ditulis Malaysiakini sempena ulang tahun Syed Husin yang ke-85 pada tahun 2021.

Syed Husin remembers #1: Merdeka-era leaders lost to the nation

Syed Husin remembers #2: Konfrontasi and the early days of Malaysia

Syed Husin remembers #3 – Overcoming 1974 arrests and Ops Lalang